Tunai Janji Pilihan Raya, Sabah Beritahu Putrajaya

Pengerusi PPBM Sabah Hajiji Noor pada perhimpunan parti itu di Kota Kinabalu semalam.

KOTA KINABALU: Pengerusi PPBM Sabah Hajiji Noor menggesa kerajaan pusat menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika pilihan raya negeri dua bulan lepas.

Hajiji berkata, wujud tanggungjawab bersama bagi memastikan janji pilihan raya dipenuhi.

“Ia akan menggerakkan rancangan pembangunan Sabah Maju Jaya yang akan diumumkan oleh kerajaan GRS dalam masa terdekat,” katanya.

Berucap menyokong ucapan dasar Presiden PPBM Muhyiddin Yassin pada perhimpunan agung parti itu hari ini, Hajiji berkata, “mandat tidak harus dibiarkan sia-sia”.

Hajiji, yang juga ketua menteri Sabah berkata, negeri itu memerlukan lebih banyak bantuan daripada kerajaan pusat bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi dan sosial berbanding negeri lain di Malaysia.

“Bagaimanapun kita bimbang pandemik Covid-19 akan terus melebarkan jurang sedia ada,” katanya.

Hajiji menggesa parti memberi tumpuan pada kepentingan kelompok pribumi, selain mempertahankan kedudukan istimewa rakyat Sabah seperti ditetapkan dalam undang-undang negara.

Beliau juga menggesa penubuhan sayap ketiga parti itu bagi wanita muda kerana hanya 20% daripada anggota wanita parti berusia di bawah 30 tahun.

Hajiji berkata, had umur mengundi lebih rendah, iaitu 18 tahun, menatijahkan hampir 1.5 juta pengundi baru.

“Ini bermakna terdapat 7.8 juta pengundi muda dengan 25% daripada mereka berumur di bawah 30 tahun.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1789