Bangkai Gajah Ditemui Di Ladang Kelapa Sawit Di Sabah Disyaki Diracun

Bangkai gajah betina yang ditemui di ladang kelapa sawit Leepang di Kinabatangan.

KOTA KINABALU: Pegawai hidupan liar kini menyiasat punca kematian seekor gajah betina yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di daerah Kinabatangan yang terletak di pantai timur Sabah minggu lalu.

Seorang pekerja ladang terserempak dengan bangkai seekor gajah betina yang dipercayai diracuni, dengan darah mengalir keluar dari bahagian mulutnya di ladangan Leepang Ahad lalu.

Pengarah Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata, gajah itu, yang dianggarkan berusia 20 tahun, mati kurang 24 jam sebelum ditemui pekerja berkenaan.

“Tiada bukti yang jelas menunjukkan sebarang kecederaan fizikal disebabkan objek tajam,” katanya semasa dihubungi.

“Sepasukan pegawai hidupan liar menjalankan bedah siasat ke atas bangkai itu pada hari berikutnya. Tujuh sampel darah dihantar untuk ujian toksikologi dan kami belum menerima keputusannya.”

Anak gajak diberi makan sebelum ditempatkan di Pusat Perlindungan Gajah Borneo.

Ia adalah kes terbaru dalam siri kematian melibatkan pakiderma di Sabah.

Selain keracunan, gajah juga didapati mati kerana kecederaan akibat tembakan dan perangkap.

Pada Jun, Timbalan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Dr Sen Nathan berkata, 50 hingga 60 ekor gajah dilaporkan mati akibat keracunan sepanjang 10 tahun lalu di negeri itu.

“Setiap gajah di negeri ini terdedah kepada racun, sama ada daripada tumbuh-tumbuhan, alam sekitar atau kawasan perladangan,” katanya.

Selain itu, renjer hidupan liar di Kinabatangan berjaya menangkap dan menempatkan seekor anak gajah yang sesat ke sebuah ladang lain di Kampung Sukau semalam.

Tuuga berkata gajah itu akan dibawa ke Pusat Perlindungan Gajah Borneo di daerah tersebut. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *