Pengembara Dari Sabah Ke Kelantan Perlu Buat Calitan Kedua

KOTA BAHRU: Bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Kelantan, pengembara dari Sabah perlu melakukan ujian saringan calitan selepas lima hari menjalani kuarantin wajib.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, Jefny Muhammad berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dua hari lalu memutuskan semua pengembara dari Sabah perlu dikuarantin dan menjalani ujian saringan calitan kali kedua sebaik tiba di negeri ini.

Katanya, walaupun keputusan ujian saringan Covid-19 pertama dilakukan mereka tiga hari sebelum berlepas dari Sabah didapati negatif, mereka tetap perlu menjalani calitan kali kedua.

“Berdasarkan kepada analisis dibentangkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dalam mesyuarat JKKN itu, masih terdapat risiko jangkitan wabak berkenaan meskipun selepas beberapa hari menjalani ujian calitan kali pertama.

“Sehubungan dengan itu, pengembara dari Sabah perlu menjalani ujian calitan kali kedua iaitu pada hari kelima dan jika didapati negatif mereka dibenarkan keluar dari pusat kuarantin dan tidak perlu menunggu sehingga tempoh 14 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MKN di Pejabat Cawangan Kawalan Penyakit, Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Terdahulu beberapa anggota dan pegawai termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengadakan mesyuarat hampir dua jam bagi membincangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pengembara dari Sabah.

Jefny berkata, bermula esok seramai 121 pengembara termasuk penjawat awam, guru dan polis yang menaiki penerbangan terus Air Asia dari Sabah ke Kelantan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran penempatan mereka ke pusat kuarantin, seramai 30 petugas daripada pelbagai agensi bersiap sedia di lapangan terbang selain dua bas disediakan.

“Semua pengembara ini akan menjalani ujian calitan di pusat kuarantin dan setakat ini kita mempunyai dua pusat kuarantin diwartakan iaitu di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Pengkalan Chepa dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Pasir Mas.

“Mereka akan ditempatkan di pusat kuarantin selama beberapa hari, namun bagi berkemampuan, mereka diberi pilihan untuk menjalani tempoh kuarantin di tempat yang berbayar dan diwartakan iaitu di Hotel H Elite.

“Mereka yang datang atas tujuan rasmi seperti mesyuarat akan dinilai di lapangan terbang dan daripada penilaian ini kemungkinan mereka akan dipakaikan gelang hijau bagi membolehkan hadir ke negeri ini,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *