Asteroid Sebesar Burj Khalifa Rempuh Orbit Bumi Hujung Minggu Ini

Asteroid 2000 WO107 dijangka melintasi Bumi pada 29 November ini. – Gambar Hiasan

WASHINGTON : Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) meramal kan sebutir asteroid menyamai saiz bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa akan merempuh orbit Bumi minggu depan, lapor akhbar Daily Star.

Pusat Kajian Objek Hampir Bumi di bawah pengurusan NASA menyatakan, batu angkasa yang dianggarkan berukuran antara 370 meter hingga 820 meter itu dijangka melintasi Bumi pada 29 November ini.

“Asteroid itu dikenali dengan kod 153201 atau 2000 WO107. Ukuran panjangnya hampir me­nyamai pencakar langit Burj Khalifa setinggi 829.8 meter.

“NASA menjangkakan 2000 WO107 bergerak selaju 90,123 ki­lometer sejam semasa meluncur menghampiri Bumi,” kata pusat tersebut.

Orang ramai tidak dapat ­melihatnya menggunakan te­leskop biasa dari Bumi. Asteroid itu akan membuat lintasan pada pukul 10.09 pagi waktu ­Greenwich.

2000 WO107 dikategorikan sebagai objek hampir dengan Bumi (NEO) kerana berada dalam lingkungan 1.3 batu astronomi dari Bumi.

“2000 WO107 dikesan mempunyai jarak 0.02876 batu astronomi dari Bumi.

Saiz batu angkasa berkenaan dikatakan menyamai ketinggian bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa.

“Ia kedengaran seperti sangat hampir, namun realitinya jarak itu bersamaan 4.3 juta kilometer dari Bumi,” katanya.

Batu gergasi tersebut turut dikelaskan sebagai asteroid Apollo yang mana ia akan bertembung dengan orbit Bumi ketika bergerak di angkasa.

Asteroid itu diramal tidak akan menghentam Bumi, namun berdasarkan Pelan Tindakan dan Strategi Kesiapsiagaan NASA, NEO yang mempunyai saiz 1 kilometer boleh mengakibatkan kemusnahan dahsyat.

Pakar-pakar astronomi mengesan hampir 2,000 aste­roid, komet dan objek lain yang dikatakan menjadi ancaman kepada Bumi. – Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

10575