Lebih Separuh Pesakit COVID-19 Di Sabah Telah Sembuh

KOTA KINABALU: Sabah menunjukkan penurunan kes positif baharu Covid-19 buat kali keempat berturut-turut.

Hari ini sebanyak 232 kes dilaporkan berbanding 289 kes baharu yang dilaporkan semalam.

Pertambahan 14 kes baharu di Beluran pada hari ini menjadikan daerah itu bertukar dari zon jingga kepada zon merah, iaitu kawasan yang mencatatkan 41 kes aktif dan ke atas.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, sebanyak tiga lagi kematian dilaporkan di Sabah hari ini, dengan dua kes di Hospital Lahad Datu dan satu kes di Hospital Tawau.

Kematian di Sabah hari ini melibatkan pesakit berusia 41 hingga 74 tahun.

Daripada 232 kes positif baharu itu, sebanyak 62 kes dilaporkan di Kota Kinabalu, diikuti dengan 38 kes di Lahad Datu, Sandakan (25), Tuaran (23), Kota Belud (15), Beluran (14), Penampang (11), Tawau (8), Keningau (8) dan enam kes masing-masing di Semporna, Putatan dan Tambunan.

Manakala, empat kes di Kudat, dua kes di Pitas dan Papar serta satu kes masing-masing di Kuala Penyu dan Tongod.

Daripada 232 kes, sebanyak 96 kes atau 41.38 peratus dikesan daripada saringan kontak rapat di Kota Kinabalu, Lahad Datu, Beluran dan Kota Belud. Selebihnya, 136 kes dari lain-lain kategori.

Dengan tambahan tiga kematian hari ini, keseluruhan kes kematian di Sabah sehingga kini adalah sebanyak 197 kes. Sementara, sebanyak 833 kes pulih dilaporkan, dengan bilangan kumulatif kes pulih sebanyak 19,721 kes.

Setakat ini, sebanyak 26,619 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,266 kes aktif yang sedang menerima rawatan.

Terdapat 79 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 18 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kapasiti katil Covid-19 di seluruh Sabah ketika ini kekal dengan 6,576 katil dengan peratusan penggunaan 34.45 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2847