Kerajaan Disaran Laksana Moratorium Fasa Kedua

Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang supaya melaksanakan moratorium secara pukal fasa kedua bagi membantu rakyat yang berhadapan dengan situasi sukar akibat pandemik Covid-19.

Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) berkata, ketika krisis kewangan 1997 dan 1998, kerajaan menyelamatkan bank dengan menggunakan wang cukai rakyat, antaranya dengan mengurangkan nisbah rizab berkanun daripada 13.5 peratus kepada 10 peratus yang membenarkan peningkatan mudah tunai bank berjumlah RM14 bilion.

“Hari ini, rakyat sedang susah, maka tiba masanya untuk bank pula membantu menyelamatkan rakyat.

“Selaras dengan slogan Perdana Menteri bahawa ‘tiada siapa yang tertinggal’, saya memohon kerajaan meluluskan moratorium secara pukal fasa kedua,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, golongan B40 perlu mempunyai akses yang lebih kepada pinjaman kecil seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tekun.

Menurutnya, banyak agensi di Sabah juga memberi pinjaman perniagaan seperti Yayasan Usaha Maju (YUM), Sabah Credit Corporation, Borneo Housing Mortgage Finance Berhad, serta agensi Pemberi Pinjaman Berlesen.

“Semua ini mesti juga beri moratorium kepada semua peminjam. Moratorium bank termasuk agensi-agensi kerajaan pemberi pinjaman dan swasta juga harus memberi moratorium ini.

“Untuk memastikan tujuan ini dapat dilaksanakan secara holistik dan berkesan, saya meminta kerajaan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas atau Pasukan Bersepadu yang merentasi kementerian dan semua kerajaan negeri supaya semua agensi terbabit dapat dibawa bersama dalam memastikan objektif ini tercapai,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1656