Hajiji, 32 Yang Lain Teruskan Rayuan Pembubaran DUN Sabah, Kata Paguam

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan 32 pihak lain mencabar persetujuan yang diberi Yang di-Pertua untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri pada Julai.

PUTRAJAYA: Tiga puluh tiga individu, termasuk Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor akan meneruskan tindakan mereka untuk mencabar persetujuan diberikan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai, kata peguam.

“Mereka tidak memfailkan sebarang notis penghentian dalam cubaan untuk memohon rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan,” kata peguam Wilson Chang kepada FMT.

Beliau mengulas perintah dikeluarkan Mahkamah Persekutuan, mereka yang mahu mengenepikan tindakan harus memfailkan notis penghentian dengan melampirkan dokumen ditandatangani semua pihak.

Semua 33 individu, termasuk bekas ketua menteri Musa Aman, mengemukakan kebenaran untuk permohonan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 10 September.

Pihak lain termasuk timbalan ketua menteri Jeffrey Kitingan dan Joachim Gunsalam dan menteri Masidi Manjun, Jahid Jahim, Mohd Arifin Arif dan Ellron Alfred Angin.

Terdapat keraguan sebilangan daripada 33 pemohon tidak mahu meneruskan rayuan berikutan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menewaskan kerajaan Warisan pimpinan Shafie Apdal pada pilihan raya negeri 26 September lalu.

Pada 8 September, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak kebenaran memohon semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Yang di-Pertua untuk mengadakan pilihan raya kilat.

Juhar meluluskan permintaan ketua menteri ketika itu Shafie untuk membubarkan DUN pada 30 Julai bagi membuka ruang kepada pilihan raya negeri.

Panel 3 hakim dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil yang menyampaikan keputusan itu berkata, tidak ada kesalahan oleh pesuruhjaya kehakiman Leonard David Shim dalam menolak permohonan untuk semakan kehakiman pada 21 Ogos.

Katanya, keputusan Juhar membubarkan DUN tidak boleh dicabar di mahkamah.

Musa dan 32 bekas Adun berpendirian, Shafie tidak boleh menasihati Yang di-Pertua untuk membubarkan DUN kerana beliau hilang sokongan majoriti Adun.

Musa, yang juga Adun Sungai Sibuga pada masa itu, cuba membentuk kerajaan dengan sokongan 32 Adun lain, termasuk mereka yang berpaling tadah daripada PKR dan DAP.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *