Warga China Beli Burung Merpati Betina RM7.8 Juta

ambar fail menunjukkan seekor burung merpati yang bernama New Kim dan dijual pada harga RM7.8 juta kepada seorang warga China di Belgium semalam.

BRUSSELS : Seorang warga China yang identitinya tidak dapat dikenal pasti semalam membayar sebanyak $1.6 juta euro (RM7.8 juta) untuk seekor burung merpati betina bernama New Kim sekali gus mencipta rekod dunia, kata pelelong online haiwan itu, Pigeon Paradise (PIPA).

Menurut PIPA, jualan itu mengatasi burung merpati jantan, Armando yang dijual sebanyak 1.25 juta euro (RM6.10 juta) pada tahun lalu.

“Saya percaya ia merupakan satu rekod dunia. Tidak pernah ada dokumen rasmi penjualan pada harga sebegitu,” kata Pengerusi PIPA, Nikolaas Gyselbrecht kepada AFP.

“Saya tidak terfikir bahawa kita boleh mendapatkan harga tersebut,” tambahnya.

Pembeli haiwan itu yang namanya tidak didedahkan kemungkinan mahu membiakkan burung tersebut, jelasnya.

Sebelum ini, pada tahun 2018, New Kim dinobatkan sebagai Jaguh Burung Merpati Jarak Pertengahan dalam pertandingan yang diadakan di Chateauroux and Argenton-sur-Creuse di Perancis.

Gyselbrecht berkata, di Belgium sahaja terdapat 20,000 pembiak burung lumba khas untuk bertanding dalam pertandingan-pertandingan utama.

New Kim telah dilatih oleh seorang bapa dikenali sebagai Gaston dan anak lelakinya, Kurt De Wouwer di Berlaar berhampiran Antwerp.

Kedua-duanya menjual keseluruhan koleksi burung merpati mereka semalam. – AFP

933