Komuniti Maritim Sabah Diingatkan Tidak Bersubahat Dengan Tekong Seludup

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Ahmad Fuad Othman

TAWAU, 16 Nov : Komuniti maritim di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) diingatkan tidak bersubahat dengan tekong laut atau darat untuk menyeludup masuk rokok mahupun pendatang haram ke Sabah.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Ahmad Fuad Othman berkata tindakan tegas akan diambil jika mereka dikesan bersubahat melindungi pendatang haram atau menyembunyikan barang seludup.

“Jangan biarkan tekong-tekong ini cuba mengambil kesempatan, dan sebaliknya jadi ‘mata serta telinga’ kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat penting berkaitan jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan di sini  hari ini.

Menurutnya, kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan ESSZone terus diperketatkan melalui rondaan agresif pasukan keselamatan termasuk ‘show of force’ sebagai menangani kemasukan pendatang haram serta penyeludupan barang ke Sabah.

Katanya, rondaan agresif serta semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Operasi Cegah Pati (OCP) Daratan Selatan di sini banyak menggagalkan cubaan pendatang haram menyusup masuk serta penyeludupan.

“Misalnya, semalam satu rampasan rokok seludup dilakukan membabitkan 22,900 bungkus rokok dengan nilai RM288,032 di tepi pantai Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas di sini.

“Radar ATM mengesan pergerakan bot mencurigakan dari Pulau Sebatik menuju ke tebing laut Kampung Hidayat pada 7.35 malam, pasukan keselamatan yang bergegas ke lokasi kejadian hanya menemukan longgokan plastik hijau berisi rokok seludup dan tekong melarikan diri,” katanya.

Ahmad Fuad berkata rokok terbabit yang dipercayai untuk pasaran tempatan dibawa ke balai polis Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *