Tambah Baik Mekanisme Pengeluaran KWSP Kepada Bayaran ‘One-Off’ RM10,000, Kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, pembayaran ‘one-off’ sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP amat diperlukan oleh pencarum ketika masing-masing berdepan tekanan ekonomi sara hidup.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan membenarkan had pengeluaran simpanan KWSP sebanyak RM500 sebulan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan dengan menambah baik mekanisme itu kepada pembayaran “one-off” sehingga RM10,000.

“Kenapa nak teruskan dengan had pengeluaran RM500 sebulan hanya untuk mereka yang kehilangan kerja sahaja jika ia tidak memenuhi keperluan dan kehendak ramai?

“Adakah hanya 600,000 warga Malaysia yang hilang kerja perlu dibantu?

“Bagaimana pula dengan mereka yang tak hilang kerja, tetapi pendapatan bulanan mereka turun mendadak sebab elaun kerja lebih masa, komisyen dan sebagainya dikurangkan atau gaji asas mereka dipotong majikan?,” soalnya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Najib yang juga bekas menteri kewangan berkata, pembayaran “one-off” sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP amat diperlukan oleh pencarum ketika masing-masing berdepan tekanan ekonomi sara hidup.

“Antara sebabnya, pembayaran ‘one-off’ ini sebanyak RM10,000 boleh digunakan sebagai penyelesaian hutang tunggakan mereka seperti bil utiliti, bayaran sewa atau pinjaman rumah, keperluan untuk anak-anak, caruman insurans tertunggak dan sebagainya.

“Jika tak boleh buat RM10,000, boleh pertimbangkan bayaran RM3,000 atau RM5,000 sekali gus. Bakinya dibayar secara beransur setiap bulan untuk 3 atau 6 bulan lagi,” jelasnya.

Najib berkata, pengeluaran “one-off” sebanyak RM10,000 itu juga boleh digunakan sebagai modal asas untuk memulakan perniagaan kecil, terutama mereka yang diberhentikan kerja.

“Rakyat juga boleh menjadikan wang tersebut sebagai modal permulaan untuk memulakan perniagaan secara dalam talian atau “online business” yang kini semakin pesat mengembang.

“Keperluan ini tidak dapat dipenuhi sekiranya dibayar cuma RM500 setiap bulan sahaja,” katanya yang mengambil contoh inisiatif itu akan membantu mengembangkan lagi perniagaan Warung Kapten oleh seorang juruterbang bernama Kapten Azrin yang turut terkesan dibuang kerja ketika pandemik ini.

“Sudah tentu, pengeluaran “one-off” RM10,000 ini dapat membantu Kapten Azrin mengembangkan perniagaan warung ini.

“Secara tidak langsung, Mak Cik Kiah juga dapat mengembangkan lagi perniagaan pisang goreng beliau kepada perniagaan air tebu dan sebagainya.”

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa pencarum KWSP yang kehilangan pekerjaan boleh mengeluarkan sehingga RM500 sebulan dari Akaun 1 selama 12 bulan berikutan tekanan ekonomi akibat pandemic Covid-19.

KWSP dalam kenyataannya berkata, kemudahan akses ke Akaun 1 ahli itu yang dikenali sebagai i-Sinar akan diumumkan secara terperinci pada 18 Nov ini. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3402