Pertimbang Pengeluaran KWSP, Moratorium Jika Mahu Belanjawan Diluluskan: Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR : Isu pengeluaran dana caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium perlu diberi perhatian utama jika mahu Belanjawan 2021 diluluskan, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tidak wajar meletakkan bebanan kepada rakyat berpendapatan rendah semata-mata ketika semua sedang berdepan krisis pandemik koronavirus (Covid-19).

“Soal (pengeluaran wang) KWSP dan moratorium ini soal yang serius. Kalau mahu kita pertimbangkan untuk luluskan belanjawan, hal-hal ini mesti diberikan perhatian utama, kalau tidak belanjawan tidak dapat diluluskan.

“Pada peringkat awal secara dasarnya saya juga tidak setuju dengan pengeluaran dana simpanan masa depan (KWSP) tetapi rakyat terdesak untuk berbelanja.

“(Berhubung moratorium) saya dah sebut, kalau faedah lima peratus maksimum itu hanya RM2.6 bilion bayar lambat daripada keuntungan (bank) yang dijangka RM30 bilion setahun…bukan makna satu beban kepada bank, (hanya) penangguhan bayaran balik,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, kerajaan harus mempertimbangkan supaya moratorium diperluaskan termasuk langkah pengurangan faedah pinjaman diambil daripada bank.

“Kalau kita banding, bukan beban pada bank dan pengurusan..tidak bolehkah diberikan pengurangan kadar faedah bagi B40 dalam keadaan orang sedang susah.

“Minta semua pihak jangan hanya golongan berpendapatan rendah sahaja terbeban tetapi juga semua pihak termasuk bank diberikan sedikit tekanan,” katanya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4138