Hajiji Ingatkan Setiausaha Politik Terus Berkhidmat Kepada Rakyat

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menggesa semua setiausaha politik yang baharu dilantik agar sentiasa menjadi telinga kepada kerajaan dalam berdepan dan memperbetulkan berita tidak sahih yang disebarkan oleh pembangkang menerusi media sosial.

Beliau berkata, setiausaha politik yang dilantik juga perlu mengalas tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan baharu untuk memerintah. Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan yang terbaik terutama dalam berdepan pandemik ini dimana, cabaran yang kesukaran dihadapi oleh semua sektor.

“Maka, ini masa untuk bekerja. Oleh itu, lakukan yang terbaik untuk memberi sokongan penuh kepada menteri dan jadilah pasukan yang terbaik,” katanya ketika menyaksikan majlis angkat sumpah 15 setiausaha politik kepada menteri-menteri Sabah, di sini hari ini.

Majlis angkat sumpah itu diketuai oleh Abdul Kassim Razali dihadapan Ketua Menteri Sabah.

Hajiji turut mengulangi bahawa usaha kerajaan negeri akan membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19 ini melalui penyaluran dana RM160 juta menerusi Bantuan Prihatin Covid-19 Sabah.

Selain itu, bantuan bakul makanan juga akan diteruskan dan setakat ini ia telah memberi manfaat kepada seramai 144,000 orang penerima di kawasan terjejas. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *