Pandikar Amin Antara 7 Fail Petisyen Pilihan Raya Di Sabah

Pandikar bertanding di kerusi baru Pintasan, tetapi tewas di tangan calon Perikatan Nasional-PPBM Fairuz Renddan dalam persaingan 6 penjuru.

PUTRAJAYA: Tujuh pihak terkilan, termasuk bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia memfailkan petisyen mencabar keputusan pilihan raya negeri Sabah pada 26 September lepas.

Petisyen tersebut melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Karambunai, Darau, Sindumin, Petagas dan Kukusan.

“Petisyen itu difailkan di Mahkamah Plihan Raya dalam tempoh 21 hari selepas keputusan diwartakan pada 6 Oktober,” kata seorang pegawai di Jabatan Peguam Negara (AGC) yang enggan dikenali memberitahu FMT hari ini.

AGC akan mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang turut dinamakan sebagai responden dalam petisyen itu.

Pandikar bertanding di kerusi baru Pintasan, tetapi tewas di tangan calon Perikatan Nasional-PPBM Fairuz Renddan dalam persaingan 6 penjuru.

Fairuz menang dengan majoriti tipis 84 undi dengan Pandikar di tempat kedua setelah mendapat 2,660 undi.

Pegawai berkenaan berkata, 2 petisyen difailkan bagi kerusi DUN Sindumin.

“Petisyen pertama difailkan oleh calon yang diisytiharkan tidak layak atas sebab beliau seorang bankrap, sementara petisyen ke-2 oleh calon yang tewas dalam pertandingan 6 penjuru di situ,” katanya.

Awang Ahmad Shah mewakili Warisan memenangi kerusi berkenaan.

Ahmad Jais Oteng (Warisan) yang tewas di tangan calon Barisan Nasional-Umno Yakub Khan dengan majoriti 16 undi dalam persaingan 7 penjuru bagi kerusi Karambunai turut memfailkan petisyen mencabar keputusan pilihan raya itu.

Dalam pada itu, calon BN-Umno Jumat Idris yang dikalahkan oleh calon Warisan Azhar Matussin dengan majoriti 562 undi dalam persaingan 6 penjuru bagi kerusi Darau juga memfailkan petisyen sama.

Petisyen juga difailkan bagi kerusi Kukusan yang dimenangi oleh calon Warisan Rina Jainal.

Hakim Mahkamah Tinggi Alwi Abdul Wahab yang berpangkalan di Kuching akan menjadi hakim pilihan raya bagi kerusi Sindumin, sementara Dean Wayne Daly, yang kini bertugas di Miri akan mendengar petisyen bagi DUN Petagas.

Bagi baki 4 kes lain, mahkamah belum menetapkan tarikh pengurusan kes.

Seksyen 35A Akta Kesalahan Pilihanraya menetapkan bahawa semua petisyen pilihan raya hendaklah diselesaikan dalam tempoh 6 bulan selepas ia difailkan.

Gabungan Rakyat Sabah yang terdiri daripada PN, BN dan PBS masing-masing memenangi 17, 14 dan 7 kerusi dalam pilihan raya tersebut.

Warisan Plus yang dianggotai oleh Warisan, DAP, PKR dan Upko menang 32 kerusi. Baki 3 kerusi lain dimenangi oleh calon bebas. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4406