COVID-19: Hari Ketiga Berturut-Turut 4 Angka, 1,009 Kes Positif Hari Ini

KUALA LUMPUR: Kes baharu Covid-19 di Malaysia hari ini kekal empat angka buat hari ketiga berturut-turut apabila mencatatkan 1,009 kes, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 36,434 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 1,009 kes baharu itu, sembilan kes membabitkan kes import iaitu dua kes dari India dan masing-masing satu kes dari Kazakhstan, Indonesia, Korea Selatan, Nigeria, Afrika Selatan, Mexico dan Kemboja.

Beliau berkata, daripada 1,000 kes penularan di dalam negara, empat kes adalah pengunjung pulang dari Sabah menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 adalah 483 kes.

“Sabah kekal mencatatkan kes tertinggi iaitu 564 kes diikuti Selangor (177 kes), Wilayah Persekutuan Labuan (92 kes), Negeri Sembilan (90 kes) dan Pulau Pinang (36 kes).

“Selain itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (14 kes), Kedah (7 kes), Sarawak (6 kes), Perak (6 kes), Melaka (5 kes), Johor (2 kes) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1 kes).

“Ia menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan ketika ini adalah 10,503 kes dan mereka sudah diasingkan serta dirawat di hospital,” katanya pada sidang media harian Covid-19, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 839 kes pulih Covid-19 dicatatkan hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 25,654 kes atau 70.4 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat 78 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, terdapat pertambahan enam kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia mencecah 277 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1313