7 PKPD Di Sabah Tamat Esok

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Penjara Pokok Sena, Kedah ditamatkan pada 7 November ini selepas mendapati tiada kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh seminggu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Pokok Sena bermula 11 Oktober sehingga 24 Oktober 2020 dan dilanjutkan lagi sehingga 7 November ini.

Menurutnya, sehingga semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)melaksanakan sebanyak 2,141 saringan dan 376 kes positif Covid-19 direkodkan.

“Walaubagaimanapun, daripada 376 kes positif Covid-19 itu, seramai 324 sudah sembuh sepenuhnya manakala baki 52 kes aktif sedang dirawat.

“Saringan KKM terhadap staf dan penghuni kuarters juga mendapati tiada kes positif baharu direkodkan di Penjara Pokok Sena untuk tempoh tujuh hari terkini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, atas nasihat dan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh KKM, Sidang Khas hari ini bersetuju menamatkan PKPD Penjara Pokok Sena, Kedah pada 7 November ini sebagaimana yang dijadualkan.

“Sementara itu enam PKPD di lokaliti di Semporna dan satu lokaliti di Kunak, Sabah turut ditamatkan pelaksanaanya esok selepas menerima nasihat daripada KKM.

“Walaubagaimanapun, lokaliti-lokaliti ini masih tertakluk kepada PKPB seluruh Negeri Sabah yang sedang berkuatkuasa,” katanya.

Enam lokaliti PKPD itu adalah Kampung Bangau-Bangau Darat, Kampung Bangau-Bangau Hujung, Kampung Halo dan Kampung Ubian;Kampung Panji; Kampung Air; Kampung Selamat; Kampung Simunul dan Kampung Pinggir Bakau sementara di Kunak adalah Kampung Pengkalan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

15058