Para Pencarum Diharap Bersabar, Tunggu Pengumuman Belanjawan 2021 – KWSP

Sejak April lalu, dianggarkan lebih RM11 bilion sudah dikeluarkan oleh seramai 4.7 pencarum menerusi i-Lestari.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menasihati para pencarum supaya bersabar dan menunggu pengumuman Belanjawan 2021.

Ketua Pegawainya, Alizakri Alias berkata, pihaknya memahami keperitan yang dihadapi oleh mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan.

Bagaimanapun, para pencarum perlu memikirkan masa depan memandangkan caruman merupakan simpanan pada masa tua, jelasnya.

“Jadi sekarang kalau anggota-anggota kita mengambil duit daripada tabung masa depan mereka, mereka tidak akan mempunyai benih (simpanan) lagi pada masa tua.

“Saya pasti mereka tidak mahu kehidupan yang susah sebab mereka sudah bertahun-tahun lelah bekerja untuk menabung dan apabila usia 60 tahun, mereka tidak mempunyai wang lagi,” katanya dalam temu bual eksklusif pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Alizakri menegaskan bahawa KWSP komited meringankan beban para pencarum yang terjejas dengan menyediakan bantuan secara holistik termasuk menerusi pengeluaran i-Lestari daripada Akaun 2.

Sehubungan itu, beliau menaruh kepercayaan bahawa kerajaan akan memastikan tiada mana-mana pihak akan ketinggalan, sebaliknya menerima manfaat menerusi Pembentangan Belanjawan 2021 yang dijangka pada 6 November ini.

“Jadi, saya menyarankan buat masa ini kita bersabar, kita tunggu Belanjawan 2021 dibentangkan dan apabila ia dibentangkan, kita akan melihat perbelanjaan yang diperlukan itu sama ada mampu ditanggung oleh kerajaan (atau sebaliknya),” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap agensi berkaitan boleh bersama-sama membantu para pencarum yang kehilangan pekerjaan khususnya untuk memperkasakan semula kumpulan tersebut.

Sejak April lalu, dianggarkan lebih RM11 bilion sudah dikeluarkan oleh seramai 4.7 ahli KWSP menerusi i-Lestari. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5259