Dua Beradik Jatuh Dalam Laut Belum Ditemui

TAWAU: Dua beradik berusia lima dan lapan tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut semasa mandi di Jeti Teck Guan, Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, di sini petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Tawau Kapten Maritim Siva Kumar A/L Vengadasalam berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dilakukan di lokasi kejadian dan kawasan pinggir laut bersama orang awam dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dan di kawasan bakau.

Katanya, operasi SAR diteruskan hari ini dan ia melibatkan beberapa aset maritim, bot orang awam dan agensi-agensi keselamatan lain.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Ketua Polis Daerah Tawau pada 9.50 malam, semalam.

Siva Kumar berkata, sebaik menerima maklumat itu, aset bot maritim telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut.

“Maklumat awal yang diterima daripada keluarga terdekat, seorang kanak-kanak perempuan, Nazwa Telson,8, dan adiknya Madsun Telson,5, dipercayai mandi bersama dua lagi rakan mangsa sebelum kedua-dua mangsa dipercayai terjatuh ke dalam laut dan dihanyutkan arus.

“Rakan mangsa yang berada di tempat kejadian memaklumkan insiden itu kepada ahli keluarga dan mereka segera membuat laporan polis di balai berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Untuk sebarang aduan kecemasan dan maklumat jenayah di perairan Tawau boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089 752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *