Keluarkan Wang Caruman KWSP Cadangan Rasional

KUALA LUMPUR: Membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran sehingga RM10,000 adalah cadangan yang rasional pada ketika ini.

Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Wan Norhidayah W Mohamad berkata, langkah itu bagi membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat yang terkesan pandemik Covid-19.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil dan mendesak ini, tindakan membenarkan rakyat untuk mengurangkan bebanan kewangan dengan menggunakan wang sendiri adalah langkah yang prihatin dan mampu meredakan kegusaran mereka.

“Cadangan pengeluaran ini juga dilihat tidak akan membebankan kerajaan kerana tidak membabitkan dana tambahan yang perlu ditanggung oleh kerajaan sendiri, seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Bagaimanapun, cadangan pengeluaran KWSP ini boleh diperhalusi lagi dengan hanya membenarkan golongan yang betul-betul terjejas untuk membuat pengeluaran seperti golongan B40, individu yang kehilangan pekerjaan dan mempunyai tanggungan yang ramai,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, bayaran juga boleh dibuat secara berperingkat, contohnya sebanyak RM500 hingga RM1,000 sebulan yang dikreditkan terus ke dalam akaun individu.

Menurutnya, cara itu dilihat mampu menjamin kelangsungan kewangan mereka (pencarum) sekurang-kurangnya untuk setahun yang akan datang berbanding dengan bayaran sekali gus RM10,000.

Dr Norhidayah berkata, langkah membenarkan pengeluaran KWSP itu membolehkan rakyat berbelanja dan sedikit-sebanyak dapat membantu merancakkan ekonomi negara.

“Keuntungan daripada langkah ini akhirnya akan kembali semula kepada kerajaan.

“Apabila ekonomi kembali pulih, rakyat dapat menaikkan semula caruman mereka untuk simpanan hari tua,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *