Sabah Perlu Infrastruktur, Sistem Kesihatan Lebih Baik

Petugas kesihatan melakukan pemeriksaan serta saringan di salah satu kawasan di Sabah.

Dalam mendepani penularan pandemik COVID-19 di Sabah yang kini mencatat jumlah kes tertinggi dalam negara, Kementerian Kesihatan (KKM) dilapor meningkatkan keupayaan mereka untuk menangani situasi di negeri itu.

Selain menambah kapasiti katil untuk pesakit, ratusan anggota perubatan dan kesihatan awam dari negeri lain turut digerakkan bagi membendung situasi penularan di Sabah.

Realitinya, masalah infrastruktur kesihatan ini harus diberikan perhatian tinggi oleh kerajaan negeri demi kebaikan rakyat Sabah.

Sehingga kini, lebih satu pertiga penduduk Sabah tinggal melebihi lima kilometer daripada segala jenis kemudahan kesihatan. Kekurangan pakar dan peralatan perubatan, memaksa pesakit yang ingin menerima rawatan atau rawatan lanjutan terpaksa dirujuk ke hospital kerajaan lain.

Setakat ini, terdapat 24 hospital kerajaan dan 300 klinik kesihatan kerajaan di seluruh Sabah, tetapi masih tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan rakyat negeri itu.

Walaupun dalam keadaan kecemasan, penduduk di luar bandar masih perlu memandu melintasi sempadan negeri, termasuk melalui jalan berlumpur dan tidak rata selain menaiki bot dengan perbelanjaan sendiri. Bayangkan masa dan wang terpaksa dibazirkan penduduk luar bandar.

Nisbah rasmi doktor dengan penduduk iaitu 1:856 (satu doktor untuk setiap 856 penduduk) menimbulkan cabaran kepada hospital dan barisan hadapan apabila kes baharu COVID-19 meningkat mendadak setiap hari.

Lebih teruk 85 anggota kesihatan di negeri itu dijangkiti COVID-19 hanya dalam 10 hari sejak awal bulan ini.

Barisan hadapan yang sihat terpaksa bekerja lebih 24 jam dan secara berterusan bagi menampung keperluan pekerja kesihatan, terutama hospital di sekitar Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

Disebabkan kebanyakan hospital di Sabah menghadapi masalah kekurangan staf, pesakit COVID-19 yang stabil di Semporna dan Lahad Datu terpaksa menetap di flet perumahan awam.

Hospital kerajaan di sekitar Kota Kinabalu dan Sandakan pula terpaksa menutup klinik pakar bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pesakit COVID-19.

Ini menyebabkan beberapa pesakit dengan penyakit kronik tidak menerima rawatan sewajarnya. Sumber terkini menunjukkan beberapa kematian dicatatkan dalam kumpulan pesakit ini, yang tentunya tidak termasuk dalam statistik kematian COVID-19.

Harapan besar untuk melihat pandemik yang menular terkawal atau diatasi supaya rakyat Sabah dapat menikmati perkhidmatan kesihatan lebih berkualiti.

Kerajaan negeri sekarang harus menunaikan janji untuk menyediakan kemudahan kesihatan baharu, menaik taraf kemudahan kesihatan sedia ada di seluruh negeri dan memperkenalkan Skim Sihat Sabah supaya golongan memerlukan mendapat akses secara optimum dalam perkhidmatan kesihatan.

Liputan penjagaan kesihatan asas di kawasan luar bandar juga perlu dipertingkatkan, dengan menyediakan klinik bergerak dan pengenalan semula perkhidmatan doktor udara yang ditamatkan Jabatan Kesihatan Sabah pada 2016.

Usaha memastikan rakyat Sabah mendapat maklumat lanjut dan terkini mengenai situasi COVID-19 juga penting.

Hal ini dapat membantu melancarkan urusan berkaitan sistem kesihatan negeri, selain mengurangkan kerisauan rakyat.

Dalam hal ini, saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, supaya menggunakan pendekatan ‘seluruh jentera kerajaan dan masyarakat’ di saat pandemik menular wajar diutamakan.

Sekarang masa terbaik untuk kerajaan negeri bekerjasama dengan profesional kesihatan, pemimpin tempatan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk meratakan lengkungan jangkitan pandemik di Sabah sekali lagi.

Selepas pandemik terkawal, kerajaan negeri harus melanjutkan agenda kesihatan supaya rakyat Sabah dapat menikmati kemudahan kesihatan lebih berkualiti.

Dengan infrastruktur kesihatan lebih baik, kesejahteraan fizikal, mental dan sosial rakyat Sabah akan diutamakan.

Pada masa sama, negeri akan lebih bersedia menghadapi kemungkinan munculnya pandemik lain pada masa akan datang. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

664