Lia Sebak Lihat Kedaifan Warga Tawau

Lia Natalia menghulurkan bantuan kepada 100 keluarga di Tawau yang terjejas berikutan pandemik COVID-19. – Foto Lia Natalia

KUALA LUMPUR: Hati Lia Natalia sebak ketika melihat kedaifan dan menyelami kesusahan masyarakat di Tawau, Sabah, terutama ketika berdepan pandemik COVID-19.

Sebagai anak jati Sabah, Lia atau nama sebenarnya, Alia Afiqah Abden tidak berfikir panjang ketika diajak membantu Pertubuhan Malaysian Relief Agency (MRA) menghulurkan bantuan, selain misi pengiraan data isi rumah.

Lia berjaya membantu lebih 100 keluarga terjejas teruk dalam misi bantuan yang dilakukan pada 24 Oktober lalu. Sumbangan dihulurkan sepenuhnya daripadanya.

Lia berkata, dia bersyukur urusan penghantaran bantuan makanan kepada penduduk Tawau dapat disalurkan pada saat ini.

“Saya bukan wakil rakyat atau ahli politik yang turun padang untuk memberi sumbangan. Saya terpanggil berkongsi rezeki bagi mengurangkan kesusahan mereka ketika bergelut pandemik COVID-19.

Lia Natalia tidak dapat menahan sebak apabila bertemu 14 keluarga bersesak dalam satu rumah. – Foto Lia Natalia

“Ini kali pertama saya turun padang memberi bantuan ke kampung yang dilaporkan dalam Zon Merah. Saya tak mampu menahan sebak melihat warga Tawau yang terabai.

“Saya sempat menjenguk 14 keluarga terpaksa berkongsi dan bersesak satu rumah demi mendapat perlindungan. Menyelami kesusahan mereka, ada yang dibayar gaji RM5 sehari dan dibuang kerja. Bagaimana mahu isi perut keluarga? Lebih mengejutkan, ada rumah seperti pondok menjadi tempat berteduh,” katanya sambil menahan hiba.

Pelakon filem Pinjamkan Hatiku itu berkata, dia tidak bermaksud menempelak mana-mana pihak, tetapi apa yang dilakukan atas inisiatif sendiri.

Lia Natalia berkongsi rezeki dengan warga Tawau yang terjejas teruk ketika bergelut dengan pandemik COVID-19. – Foto Lia Natalia

Katanya, dia tidak berniat meraih publisiti pada saat berkongsi kesusahan warga Tawau menerusi media sosialnya.

“Banyak pengajaran diperoleh dalam misi bantuan ini. Peluang ini membuka mata dan membuatkan saya insaf. Saya mahu masyarakat Malaysia tahu betapa susahnya orang Tawau termasuk golongan tercicir daripada mendapat bantuan sepatutnya.

“Jadi, saya bersyukur dengan apa yang ada. Apabila rasa susah dan serba kurang, sebenarnya ada yang lebih susah serta daif daripada kita.

“Pendapatan mereka terjejas teruk, malah ada keluarga tidak bekerja langsung dan terpaksa mengikat perut dalam situasi pandemik COVID-19 yang meruncing di Sabah,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *