Guru Kaunseling Edar Barang Makanan Kepada Pelajar

Guru kaunseling di Sandakan, Sabah, Maisarah Hannan. Gambar ihsan Maisarah Hannan

KOTA KINABALU: Sedih dan sebak selepas menerima mesej meminta makanan mendorong seorang guru kaunseling memberi bantuan kepada pelajar yang keluarganya terjejas pendapatan akibat penularan COVID-19 ketika ini.

Maisarah Hannan, 35, yang mengajar di sebuah sekolah di Sandakan berkata, hatinya luluh apabila menerima pelbagai mesej daripada pelajar kurang kemampuan meminta bantuan terutama bekalan makanan.

Beliau menggunakan duit sendiri untuk membeli pek dan barang makanan untuk diagih kepada pelajar kerana tidak sanggup mendengar keluhan mereka.

“Mereka tidak meminta lebih tetapi hanya mahu bantuan makanan. Saya menggunakan duit sendiri untuk membantu setakat yang mampu selain mendapat bantuan daripada guru yang lain.

“Ada pelajar dari keluarga tidak berkemampuan, ibu bapa bekerja sendiri selain ada yang diberhentikan kerja serta tidak dapat bekerja kerana penularan COVID-19.

“Saya bersama rakan lain turun padang mengagihkan barangan keperluan ke rumah pelajar terbabit. Usaha ini saya teruskan sehingga kini kerana saya tahu ramai yang terkesan dengan COVID-19 terutama ketika Sabah mencatatkan pertambahan kes ketika ini,” katanya.

Maisarah yang berasal dari Tawau berkata, dia mula memberi bantuan kepada pelajarnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakasanakan pada Mac lalu.

“Bagaimanapun, usaha ini turut mendapat sokongan pihak luar dan dana yang ada semakin bertambah hasil sumbangan orang ramai. Mereka (orang ramai) turut membantu selepas ramai yang berkongsi di akaun Facebook saya mengenai usaha ini.

“Oleh kerana dana semakin bertambah, kini saya perluaskan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan. Ramai yang meminta tolong untuk diberikan bantuan makanan,” katanya yang turut aktif dalam aktiviti sukarelawan serta kemanusiaan sejak tahun 2017.

Beliau berkata, pelbagai bentuk barang makanan diagihkan kepada pelajar seperti beras, telur, minyak masak, gula dan susu bayi selain pelitup muka, yang berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai.

“Saya mendapat maklumat daripada Facebook mengenai golongan yang memerlukan bantuan. Mereka mesej saya di Facebook untuk minta bantuan. Lazimnya, selepas tahu alamat mereka, saya dengan dibantu rakan akan menghantar bekalan itu.

“Ada juga maklumat asnaf yang saya dapat hasil tinjauan sendiri dan rakan guru,” katanya sambil menambah sumbangan itu diterima daripada orang awam termasuk ada yang menjadi penyumbang tetap.

Beliau berharap apa yang dirinya dan rakan-rakan lakukan ini dapat menggembirakan hati pelajar dan keluarga mereka serta golongan asnaf. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *