Covid-19: Sabah Catat 578 Kes Positif & 4 Kematian Hari Ini

PUTRAJAYA: Sebanyak 847 kes baharu COVID-19 dikesan hari ini yang mana daripada jumlah itu 578 kes dikesan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada keseluruhan 847 kes berkenaan, 842 kes adalah penularan tempatan dan lima kes import mendapat jangkitan dari luar negara.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 23,804 kes dengan jumlah kebolehjangkitan dalam negara kini 8,183 kes.

“Selain Sabah, 19.4 peratus atau 164 kes dicatatkan di Lembah Klang dan daripada jumlah itu 71 kes atau 43.3 peratus dikesan daripada kluster sedia ada.

“Lembah Klang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan COVID-19,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 486 kes sembuh dilaporkan di negara ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 15,417 kes atau 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Lima kematian disebabkan COVID-19 dilaporkan di negara ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 204 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan warga emas berusia antara 60 hingga 88 tahun di Kedah dan Sabah.

“Kes kematian ke-200 membabitkan wanita berusia 67 tahun dan mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia serta dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah.

“Manakala kes kematian ke-201 ialah wanita berusia 65 tahun dan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

“Bagi kes kematian ke-202 ialah lelaki berusia 88 tahun dan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent manakala kes kematian ke-203 pula ialah lelaki berusia 78 tahun dan mempunyai penyakit strok. Beliau meninggal dunia di Hospital Tuaran,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, bagi kes kematian ke-204, Dr Noor Hisham berkata, ia membabitkan wanita berusia 60 tahun dan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1375