Balkisyh Buntu Cari Bapa Kandung

Bapa Balkisyh, Semundur Khan Gulam Khan (kiri).

Pelakon, Balkisyh Semundur Khan, 34, memohon jasa baik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam memudahkan proses perkahwinannya dengan seorang duda berusia 34 tahun yang sudah tertunda hampir setahun selepas dia gagal mencari bapa kandungnya.

Balkisyh yang popular menerusi drama Mak Cun berkata, pihak terbabit meminta dia mengikut prosedur ditetapkan iaitu tampil dengan wali iaitu bapa kandungnya, Semundur Khan Gulam Khan.

Menurut Balkisyh, dia sudah berusaha mencari bapanya itu termasuk membuat semakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen, tetapi gagal.

“Ikut perancangan saya nak berkahwin hujung tahun lalu, tapi tertunda disebabkan masalah wali. Sejak itu saya mula mencari bapa. Ada dapat maklumat daripada keluarga di Sabah, tapi ia tidak tepat.

“Jadi, saya buat carian di JPN membabitkan rekod kematian dan alamat terakhir. Selepas dua minggu saya diberitahu ayah masih hidup sebab tidak ada rekod kematian dan alamat terakhirnya di Tawau, Sabah. Malangnya, rumah itu sudah dijual sejak lima tahun lalu.

“Dalam semakan Jabatan Imigresen pun ayah tiada rekod keluar masuk negara sejak empat tahun lalu. Jadi, saya semakin buntu dan tiada petunjuk langsung jika benar-benar pihak jabatan agama tetap mahukan wali daripada bapa kandung,” katanya kepada Harian Metro.

Balkisyh yang juga ibu tunggal anak dua berkata, dia sudah lapan kali turun naik pejabat agama namun permohonan tetap ditolak.

“Saya pernah menangis keluar dari pejabat agama sebab memikirkan kenapa terlalu rumit prosedur nak berkahwin. Kalau diikutkan saya janda dan pernah berkahwin. Tapi, saya tetap berusaha.

“Saya juga sudah cuba mengemukakan bapa saudara iaitu adik ayah untuk menjadi wali, tapi ditolak. Malah, saya pernah tanya apa penyelesaian terbaik dalam kes saya ini dan mereka tiada jawapan.

“Mereka juga mahukan saksi dalam kalangan ahli keluarga. Dalam keadaan wabak Covid-19 dan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terbaharu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mustahil untuk saya ke sana atau mereka datang ke sini semata-mata untuk urusan perkahwinan,” katanya.

Menurut Balkisyh, pihak mahkamah hanya membenarkan dia menggunakan wali hakim selepas mendapat kelulusan daripada JAWI.

Balkisyh berkahwin dengan Mohd Aizad Rosli pada 2007 dan bercerai pada 5 September 2017.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Nur Qalesya, 9, dan Muhamad Nor Qaisyh Khan, 4.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3503