Covid-19: 429 Kes Baharu Dan Dua Hari Berturut-Turut 4 Kematian Di Sabah

KOTA KINABALU: Dua hari berturut-turut Sabah mencatatkan empat kes kematian akibat wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes kematian ini melibatkan dua kes di Hospital Duchess of Kent, Sandakan; satu kes masing-masing di Hospital Lahad Datu dan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Kesemua pesakit ini berusia antara 47 tahun hingga 80 tahun dan melibatkan seorang lelaki dan tiga perempuan.

Pesakit-pesakit ini mempunyai latar belakang penyakit kronik iaitu penyakit darah tinggi dan gout.

Tambahan kes terbaru ini menjadikan kes kematian yang dilaporkan di negara ini meningkat kepada 167 kes.

Untuk kes positif baharu, daripada 660 kes positif baharu yang dilaporkan di Malaysia, 429 kes atau 65 peratus kes adalah di Sabah.

Sementara, lapan kes positif baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan, iaitu tujuh kes tempatan dan satu kes import tiba dari Filipina.

Daripada 660 kes baharu, 654 kes adalah jangkitan tempatan dan enam kes import.

Hanya satu kluster baharu hari ini iaitu kluster Kencana, Selangor (4).

Pertambahan kes baharu menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 17,540 kes. Sebanyak 5,768 kes aktif dengan 108 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 35 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, kes pulih yang dicatatkan sehingga kini adalah sebanyak 11,605 kes.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *