STAR Tetap Sokong PN, Muhyiddin

Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tetap dengan pendirian menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata beliau secara peribadi turut menyokong Muhyiddin untuk terus menjadi Perdana Menteri.

“Tidak timbul sama sekali persoalan untuk mengalihkan sokongan kepada calon lain yang berangan-angan mahu menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendirian STAR mengenai spekulasi peralihan kerajaan Pusat berikutan dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan dan mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata langkah Anwar menarik Ahli Parlimen daripada kerajaan dalam usahanya untuk menjadi Perdana Menteri hanya menjejaskan kredibilitinya di mata rakyat.

“Berdasarkan senario semasa, rakyat melihat tindakan Anwar yang menunjukkan beliau gila kuasa ingin menjadi Perdana Menteri tanpa mengambil kira kesannya kepada rakyat hanya menjejaskan kredibiliti dirinya sendiri.

“Lebih baik beliau (Anwar) menjaga kawasannya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dan menyumbang usaha serta tenaga membantu kerajaan dan rakyat dalam memerangi musuh tidak kelihatan iaitu COVID-19 selain membantu memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik itu,” katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Keningau itu juga menekankan peningkatan jangkitan COVID-19 khususnya di Sabah dan penularan disebabkan pengunjung dari negeri ini menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat.

“Rakyat tidak seharusnya diganggu dengan langkah terdesak Anwar.

“Kita perlu berwaspada dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) supaya lengkungan kes dapat diratakan secepat mungkin,” katanya.

Dr Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata, langkah itu bagi memastikan negara kembali ke landasan yang sepatutnya bagi memulihkan ekonomi negara.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *