Lelaki Rentung Akibat Jiran Bakar Tilam Di Kepayan

Kediaman yang musnah dalam kebakaran di Rumah Murah Kepayan, Kota Kinabalu menyebabkan seorang warga emas rentung. Foto ihsan bomba

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas rentung manakala dua beranak melecur dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Rumah Murah Kepayan, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, mangsa Liew Han Chong, 65, ditemui rentung di dalam tandas tingkat atas rumahnya yang terbakar.

Kediaman yang musnah dalam kebakaran di Rumah Murah Kepayan, Kota Kinabalu menyebabkan seorang warga emas rentung. Foto ihsan bomba

Mangsa yang melecur ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan ibunya, 32 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula selepas seorang lelaki bertindak membakar tilam di biliknya sebelum merebak ke rumah sebelah.

“Sebelum kejadian, suspek dikatakan bertengkar dengan ibu saudaranya lalu bertindak membakar tilam di biliknya.

“Api kemudian merebak dan suspek bersama tiga ahli keluarga sempat menyelamatkan diri manakala seorang lelaki ditemui rentung bersebelahan rumah suspek terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis kemudian menahan suspek kira-kira jam 4 pagi tadi untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.24 tengah malam.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dan Lintas bergegas ke tempat kejadian kebakaran untuk memadam kebakaran.

“Bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 1.28 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.56 pagi” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5271