Kabinet Dibentuk GRS Tidak Hormati Budaya, Bangsa Di Sabah

Frankie Poon

KOTA KINABALU: Struktur Kabinet yang dibentuk kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat tidak menghormati kepelbagaian budaya dan bangsa di Sabah.

Ia susulan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS dan tiada menteri dari kaum Cina yang dilantik mewakili komuniti itu seperti yang dilakukan dalam kerajaan sebelum ini.

Pemangku Pengerusi DAP, Datuk Frankie Poon berkata, pelantikan Setiausaha Pas Sabah, Aliakbar Gulasan mungkin menyebabkan isu perkauman berlaku dan menjejaskan keharmonian kaum di negeri ini.

“Pas tidak bertanding dalam pilihan raya lalu tetapi masih dilantik sebagai ADUN lantikan. Ini menunjukkan GRS terutama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mementingkan kuasa politiknya dan hanya akan menjadi seorang Ketua Menteri yang mematuhi arahan kerajaan Persekutuan saja.

“Hajiji juga tidak mengamalkan kepelbagaian kaum dalam pembentukan kerajaan dan tiada menteri kaum Cina yang dilantik untuk mewakili komuniti Cina,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya lagi, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jeffery Kitingan yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pernah mengatakan bahawa GRS tidak akan melantik wakil dari Pas dalam kerajaan Sabah.

“Jika mereka masih berpendirian sebagai wakil parti Sabah, letak jawatan Kabinet untuk menunjukkan tidak puas hati dengan keputusan Hajiji yang tidak selaras dengan tuntutan mereka.

“Janganlah mengikut segala keputusan Hajiji demi kedudukan sebagai menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Frankie turut mengkritik kerajaan GRS yang dilihat hanya mementingkan pelantikan menteri dan ADUN dilantik serta mengabaikan situasi wabak koronavirus (Covid-19) yang makin serius di Sabah.

“Mereka seharusnya mengutamakan perbincangan untuk mengatasi situasi penularan wabak di Sabah tetapi rakyat dimaklumkan bahawa Hajiji akan menjalankan kuarantin di rumah sepanjang 14 hari atas sebab terdedah dengan individu yang positif Covid-19.

“Jadi siapakah rakyat boleh harapkan untuk mengatasi situasi wabak Covid-19 di negeri Sabah?” soalnya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *