Covid-19: 6 Lagi Kematian Di Sabah Hari Ini

PUTRAJAYA: Enam lagi kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Sabah, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ini melibatkan dua kes di Hospital Tawau, dua kes di Hospital Semporna dan dua kes di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.

Kesemua pesakit ini berumur antara 54 hingga 68 tahun dan kebanyakan mereka mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

Kematian yang dilaporkan hari ini membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan.

Pertambahan kes terbaru ini menjadikan kes kematian yang dilaporkan di negara ini meningkat kepada 152 kes.

Untuk kes positif baharu, daripada 354 kes baharu yang dilaporkan, 274 dilaporkan di Sabah dengan satu kluster baharu iaitu kluster Atap di Kota Kinabalu.

Noor Hisham berkata, peningkatan kes di Sabah ini susulan lebih banyak saringan bersasar dijalankan di tujuh daerah yang melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Daripada 354 kes baharu, 352 kes adalah jangkitan tempatan manakala, dua adalah kes import.

Pertambahan kes baharu menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 14,722 kes. Sebanyak 3,863 kes aktif dengan 68 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 25 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, sebanyak 10,707 kes telah pulih sehingga kini. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *