Semua Sekolah Di Sandakan, Papar, Tuaran Tutup Esok

Penutupan sekolah di zon merah itu melibatkan 142 sekolah di daerah Klang dan 242 sekolah keseluruhan di 3 daerah di Sabah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Semua sekolah di zon merah jangkitan COVID-19, iaitu Klang di Selangor dan Sandakan, Papar serta Tuaran di Sabah diarah tutup mulai esok sehingga 23 Oktober ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini, menjelaskan arahan itu bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 dan seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di empat daerah terbabit.

Menurut kenyataan itu, KPM mengambil perhatian berhubung peningkatan kes COVID-19 di beberapa daerah yang disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“KPM juga menyedari kekhuatiran ibu bapa dan warga sekolah berkaitan keadaan semasa penularan wabak COVID-19.

“Selaras perutusan khas Perdana Menteri semalam berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan zon merah di seluruh negara, KPM memaklumkan bahawa semua sekolah yang disahkan sebagai zon merah oleh KKM akan ditutup,” katanya.

Penutupan berkenaan, kata kementerian itu, membabitkan masing-masing 142 sekolah di Klang dan 242 sekolah di tiga daerah di Sabah.

“Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM. Sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup.

“Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil pelajar yang tinggal di asrama pulang. Pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau ingin terus kekal di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan, akan berada di bawah jagaan warden asrama.

“Keperluan makan dan minum pelajar sepanjang tempoh itu akan disediakan oleh pihak sekolah,” kata kementerian berkenaan.

Dalam tempoh penutupan, kata KPM, pengetua dan guru besar akan memastikan guru serta pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian mereka dengan manual proses itu boleh dimuat turun dari portal rasmi www.moe.gov.my.

“Bagi kebanyakan sekolah yang kini sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekolah terbabit dengan penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan ini ke tarikh lain yang bersesuaian kelak,” kata KPM lagi.

Kementerian turut memaklumkan, sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

“Sebarang makluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa,” kata KPM. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1248