Kes Covid-19 Meningkat, Sabah Buka 7 Wad Tambahan

KOTA KINABALU: Enam hospital berpakar di seluruh Sabah dilihat tidak lagi boleh menampung bilangan pesakit positif Covid-19 yang semakin hari semakin bertambah.

Untuk itu, tujuh wad tambahan dibuka di Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan untuk menempatkan kes-kes positif Covid-19.

Wad tambahan itu adalah Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas; Kompleks Sukan Tawau; Dewan Arena Tawau; Bangunan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Tawau; Dewan Tun Hj Mustapha, Lahad Datu; Dewan Rafflesia ILKKM, Sandakan; dan PPR Batu Putih, Sandakan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, sebelum ini Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga telah membuka PPR Bubul Ria, Semporna dan Asrama Sekolah Menengah Agama Kunak.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah dan sedang mengatur pasukan bantuan yang terdiri daripada pakar perubatan, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat terlatih bagi membantu petugas kesihatan Sabah mengendalikan wad-wad tambahan ini.

KKM juga sedang menghantar aset perubatan tambahan untuk kegunaan hospital di seluruh Sabah.

Untuk itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengurangkan pergerakan keluar rumah dalam mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Jika keluar rumah, orang ramai dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan atau menggunakan pensanitasi tangan serta patuhi penjarakan sosial. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2407