Jangan Ulangi Kesilapan Warisan Plus Tangani Covid-19 – Yong Teck Lee

Presiden SAPP, Yong Teck Lee berkata, kerajaan negeri dan persekutuan perlu bertindak bersama-sama bagi mengatasi kekurangan serta memperbaiki kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu pimpinan Warisan.

KOTA KINABALU: Presiden SAPP, Yong Teck Lee, menggesa kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu pimpinan Warisan dalam menangani wabak Covid-19.

Katanya, kerajaan yang baru dipilih itu akan dinilai dari segi kejayaannya memulihkan ekonomi dan menangani gelombang pandemik Covid-19.

“Ketua menteri (Hajiji Noor) telah memulakan langkah dengan baik apabila menyatakan dengan tegas bahawa kerajaan akan menumpukan perhatian untuk membangunkan semula ekonomi.

“Malangnya, ia disusuli dengan langkah pertama pemerintahan yang menimbulkan kekeliruan sama ada terdapat sekatan penuh atau hanya sekatan perjalanan rentas daerah.

“SOP (prosedur operasi standard) yang berbeza diumumkan dan kemudian ditarik balik tanpa penjelasan. Ini amat malang kerana perkara terburuk boleh berlaku dalam pengurusan krisis kerana kekeliruan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yong berkata, kerajaan negeri dan persekutuan perlu bertindak bersama-sama bagi mengatasi kekurangan serta memperbaiki kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu pimpinan Warisan.

“Kita harus belajar daripada kesilapan terdahulu dan bukan mengulanginya.

“Semasa pelaksanaan pelbagai peringkat perintah kawalan pergerakan (PKP) dari bulan Mac dan seterusnya tahun ini, orang awam kebingungan dengan kerajaan Warisan ketika itu yang mengambil tindakan bertentangan dengan keputusan kerajaan persekutuan.

“Tetapi sekarang, kerajaan persekutuan dan negeri tergolong dalam gabungan (politik) yang sama, ia satu kelebihan yang dijanjikan GRS kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau juga yakin kerajaan mampu mengangani gelombang baru Covid-19 berdasarkan pengalaman menangani gelombang pertama wabak berkenaan pada Mac lalu.

“Tidak seperti pada Mac tahun ini, ketika Covid-19 pertama kali menular, kini semua negara mempunyai pengalaman dalam menangani krisis berkenaan, termasuk kesan ekonominya.

“Oleh itu, kerajaan negeri dan persekutuan tidak mempunyai alasan bahawa gelombang kedua Covid-19 ini lebih sukar ditangani daripada gelombang pertama,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *