Larangan Rentas Daerah Di Sabah Mulai 3 Oktober

KUALA LUMPUR: Kawalan rentas daerah di seluruh Sabah akan dilaksanakan berkuat kuasa bermula 3 sehingga 16 Oktober depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini.

Namun, katanya, perkhidmatan perlu (essential services) seperti keperluan bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.

“Sepanjang tempoh ini, mereka yang sedang dikuarantin dan tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

“Bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini kekal berkuat kuasa seperti biasa.

“Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri Sabah melalui Jawatankuasa Bencana Alam Covid Sabah yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-198 dan hari ke-114 PKP Pemulihan (PKPP), hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 54,764 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Menurutnya, sebanyak 3,048 pasukan pematuhan membabitkan 13,132 anggota membuat pemantauan di 3,521 pasar raya; 4,401 (restoran) serta 1,466 (penjaja); 1,136 (kilang); 3,511 (bank) dan 744 pejabat kerajaan.

Katanya, turut dipantau, sebanyak 1,047 terminal pengangkutan darat, 207 terminal pengangkutan air serta 155 terminal pengangkutan udara.

Semalam, PDRM turut menahan 98 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.

“Daripada jumlah itu, seramai 95 individu dikompaun manakala tiga direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (34), penjarakan fizikal (24), tidak memakai pelitup muka (22), gagal lunas caj kuarantin (10) dan gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (8),” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

8639