Suami Isteri Sengaja Tanggal Gelang Kuarantin Ditahan

Gambar Hiasan

LABUAN: Suami isteri warga asing yang sengaja menanggalkan gelang tangan Covid-19 ditahan kerana ingkar perintah kuarantin di rumah, semalam.

Pasangan berusia lingkungan 50 tahun itu ditahan polis pada 11.18 pagi selepas aduan daripada Jabatan Imigresen Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohamad Farid Ahmad berkata, pasangan terbabit masuk ke Labuan melalui pintu masuk di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 27 September lalu.

Katanya, mereka diperintah menjalani kuarantin pada hari yang sama sehingga 10 Oktober.

“Bagaimanapun pada 30 September lalu, pasangan terbabit ke Pejabat Jabatan Imigresen Ujana Kewangan Labuan untuk tujuan permohonan lanjut dokumen IMM13.

“Kedua-dua mereka didapati dengan sengaja menanggalkan gelang tangan kuarantin Covid-19 tanpa kebenaran daripada Jabatan Kesihatan Labuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini bagi permohonan reman tempoh lima hari untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Mohamad berkata, pada hari yang sama juga, pihaknya menahan dua individu warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun kerana ingar perintah kuarantin dengan memakai gelang kuarantin Covid-19 ketika sedang bekerja di lokasi pembinaan perumahan di Kampung Sungai Bangat.

Katanya, tangkapan itu hasil maklumat penyelia di tapak pembinaan di mana kedua-dua suspek bekerja.

“Kedua-dua suspek sebelum ini masuk ke Labuan melalui pintu masuk di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 27 September lalu dan telah mendapat perintah kuarantin.

“Namun kedua-dua mereka mengabaikan perintah kuarantin dan bekerja di tapak pembinaan perumahan berkenaan walaupun sudah dinasihatkan oleh penyelia mereka supaya patuh arahan perintah kuarantin,” katanya.

Menurutnta, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *