Chaya Sulaiman Nafi Keluar UMNO, BN

Chaya Sulaiman (kiri) dan kenyataan palsu yang tular di media sosial.

TAWAU: Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan, Chaya Sulaiman menafikan kononnya beliau akan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam tempoh terdekat seperti tular di media sosial.

Chaya yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang lepas ketika dihubungi berkata, beliau turut menerima maklumat berkenaan.

“Sejak semalam saya serta enam jawatankuasa UMNO turut menerima maklumat itu kononnya kami akan keluar daripada UMNO dan Barisan Nasional, tidak tahu siapa dan dari mana maklumat seumpama itu mereka dapat,” katanya.

Menurut Chaya, ketika ini beliau sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah sejak Isnin lepas dan menunggu keputusan saringan koronavirus (Covid-19).

Sejak semalam tular maklumat bahawa Chaya akan meninggalkan UMNO dan BN dalam masa terdekat.

Maklumat yang tular berkenaan turut mendakwa kekalahan tipis (10 undi) Chaya kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan) kerana wujud unsur sabotaj daripada BN sendiri.

Pada PRN lepas, Chaya kalah dengan 10 undi terhadap Rina Jainal daripada Warisan yang memperoleh 2,834 undi. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *