Warisan Plus Perlu Terima Kekalahan, Kata Bekas Peguam Besar Sabah

PETALING JAYA: Bekas Peguam Besar Sabah Mariati Robert hari ini menyeru blok Warisan Plus supaya menerima kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) secara bermaruah dan konstruktif.

Katanya, rakyat Sabah sudah mengundi dan jelas mengamalkan hak demokrasi mereka memilih sebuah kerajaan baharu selepas bekas ketua menteri Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Warisan Plus tidak mendapat sokongan majoriti anggota dewan. Mereka sudah dikalahkan.

“Ini akan menjadi 1 pengkhianatan terhadap kepercayaan diberikan rakyat kepada proses demokrasi apabila terus berusaha mengelakkan kesan semulajadi selepas tewas pilihan raya, dengan berusaha memegang kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mariati berkata, tugas sebagai pembangkang adalah mulia, iaitu bagi memastikan kerajaan yang dipilih rakyat terus menjalankan amanah mereka.

Mariati Robert.

“Ini adalah peranan baharu yang perlu dilakukan Warisan Plus,” katanya.

Hari ini Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menamakan Hajiji Noor sebagai calon ketua menteri dan beliau dijadualkan mengangkat sumpah pagi esok.

Pakatan itu terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS, memenangi 38 daripada 73 kerusi DUN pada PRN Sabtu lalu untuk memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan negeri.

Daripada 38 kerusi itu, PN menang 17 kerusi, BN (14) dan PBS (7). Warisan Plus pula yang terdiri daripada Warisan, DAP, PKR dan Upko, memenangi 32 kerusi.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *