Peter Anthony Letak Jawatan Presiden SAFA

Peter Anthony

KOTA KINABALU: Datuk Peter Anthony mengumumkan perletakan jawatan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

“Dengan semua yang sedang berlaku termasuk kesibukan saya dalam urusan politik…saya rasa perlu berehat buat sementara waktu.

“Oleh itu saya mahu umumkan perletakan jawatan sebagai Presiden SAFA berkuatkuasa serta merta hari ini,” kata Peter dalam kenyataan ringkasnya kepada media.

Peter berterima kasih kepada semua yang bersamanya sejak menerajui SAFA penghujung 2018 lalu.

“Saya telah cuba lakukan yang terbaik dan termampu. Saya harap SAFA akan terus maju jaya di bawah presiden baru selepas ini,” katanya.

Sebagai rekod, kehadiran Peter telah membuka lembaran baru SAFA apabila membebaskan persatuan itu daripada bebanan hutang jutaan ringgit yang diwarisi dari peneraju sebelumnya.

Dalam tempoh setahun SAFA di bawah pimpinan Peter, Sabah menamatkan kemarau gelaran juara selama 23 tahun apabila skuad senior yang dijenamakannya sebagai Tambadau Sabah, menjulang gelaran juara Liga Premier 2019.

Gelaran juara itu sekaligus mengembalikan Sabah ke saingan utama bola sepak negara di Liga Super musim ini selepas tujuh tahun bergelut keluar dari saingan kelas dua, Liga Premier.

“Krisis COVID-19 sejak Mac tahun ini telah menjejaskan perancangan kita untuk pembangunan SAFA. Saingan untuk skuad bawah 21 (Piala Presiden) dan bawah 19 tahun (Piala Belia) malah dibatalkan disebabkan krisis COVID-19 ini.

“Begitu dengan pembentukan pasukan senior. Bukan mudah untuk bangkit selepas setengah tahun saingan Liga Super berehat tetapi Sabah sudah kembali dengan kemenangan 3-2 ke atas Melaka United di Stadium Likas, Ahad lalu.

“Tahniah buat pasukan kerana akhirnya dapat kemenangan seterusnya buka semula peluang untuk sekurang-kurangnya kekal dalam saingan Liga Super musim depan. Teruskan perjuangan untuk baki dua perlawanan lagi,” katanya.

Peter berkata, beliau meninggalkan persatuan itu dalam keadaan baik dan berharap ianya dapat diteruskan dan dimantapkan lagi oleh presiden baharu nanti. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

105503