Warga Filipina Beli MyKad Palsu

JPN menahan tujuh lelaki warga Filipina kerana memiliki MyKad palsu. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan tujuh lelaki warga Filipina kerana memiliki MyKad palsu.

Mereka berusia antara 24 hingga 31 tahun ditahan dalam serbuan di Pantai Dalam dan Setapak, di sini, Khamis lalu.

JPN dalam kenyataan hari ini berkata, Bahagian Penguat Kuasa JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melakukan serbuan berkenaan.

Katanya, MyKad itu dibeli daripada ejen dengan harga di antara RM250 hingga RM450 setiap satu.

“Siasatan lanjut mendapati mereka berasal dari Filipina dan menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri serta menyimpan kad pengenalan yang bukan kepunyaan sendiri.

“Suspek juga sudah menggunakan kad pengenalan ini sejak tiga bulan hingga tiga tahun lalu dan memasuki Malaysia melalui Sabah dan seterusnya ke Semenanjung melalui Johor,” katanya.

Menurut kenyataan itu, semua suspek dihadapkan ke mahkamah hari ini dan mengaku bersalah.

Katanya, mereka dihukum penjara antara satu hingga tujuh bulan berkuat kuasa dari tarikh mereka ditahan selepas disabit kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2001) kerana memiliki MyKad palsu.

Orang ramai diminta memberikan maklumat berhubung penyelewengan dengan menghubungi e-mel [email protected]. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6903