COVID-19: UMS Tangguh Pelajar Masuk Kampus

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak membenarkan semua pelajarnya memasuki kampus sehingga notis dikeluarkan pada tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, arahan terbabit tertakluk ke atas kampus induk UMS di Kota Kinabalu serta kampus cawangan lain di Labuan dan Sandakan.

Menurut kenyataan itu lagi, arahan terbabit dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri berkenaan.

“Pihak pengurusan universiti memutuskan supaya kemasukan pelajar ke kampus induk UMS Kota Kinabalu dan kampus cawangan di Labuan dan Sandakan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Keputusan ini dibuat demi menjaga kebajikan dan keselamatan seluruh pelajar serta kakitangan pengurusan universiti.

“Arahan penangguhan kemasukan pelajar secara fizikal ini meliputi semua peringkat pengajian dan kategori pelajar UMS.

“Pengurusan UMS sentiasa memantau rapat perkembangan pandemik COVID-19 khususnya di Sabah dan memandang serius terhadap laporan peningkatan kes COVID-19 yang berlaku sejak akhir-akhir ini,” katanya dalam kenyataan terbabit.

Dalam kenyataan itu juga menjelaskan aktiviti pendaftaran pelajar baharu dan lama, pelaksanaan Minggu Suai Mesra (MSM), dan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan diteruskan mengikut jadual secara dalam talian.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *