Calon BN Di DUN Pitas Positif Covid-19

Calon BN bagi kerusi DUN Pitas Sufian Abd Karim mengesahkan belia positif Covid-19.

KOTA KINABALU: Calon Barisan Nasional (BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas, Sufian Abd Karim disahkan positif Covid-19.

Perkara itu dimaklumkannya sendiri di Facebook hari ini.

“Saya baru saja mendapat keputusan test Covid-19 dan disahkan positif Covid-19.

“Saya memohon maaf kepada semua pengundi, para petugas, jentera, rakan-rakan dan saudara-mara yang telah membantu sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

Sufian juga mendoakan semoga beliau diberi kekuatan menghadapi ujian itu dan diberi kesembuhan yang segera.

“Mohon kepada semua yang pernah bersama saya mengambil langkah berjaga-jaga dan sewajarnya dengan membuat saringan.

“Maaf atas segala kesulitan. Semoga ia tidak mematahkan semangat kita dalam perjuangan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dan sumber terdekat Umno mengesahkan perkara itu.

Lapan kluster Covid-19 dikesan di Sabah setakat ini, termasuk kluster terbaru yang dikenali sebagai kluster Udin yang dikenal pasti pada Rabu.

Terdahulu ketua penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan disahkan positif virus itu setelah pulang dari Sabah.

Pada Khamis Ketua Menteri Shafie Apdal memohon maaf kerana mengadakan pilihan raya semasa menularnya wabak Covid-19 beberapa jam selepas negeri itu merekodkan jumlah jangkitan baru tertinggi.

“Dalam keadaan Covid-19 sekarang, kemungkinan besar kita juga dijangkiti,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1761