Kerajaan PN Prihatin, Tidak Zalimi Rakyat – Muhyiddin

Muhyiddin menyampaikan ucapan pada Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri di Beluran hari ini.- BERNAMA

BELURAN: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah sebuah kerajaan prihatin yang memikirkan masalah rakyat, mencari jalan menyelesaikan masalah penduduk dan sama sekali tidak akan menzalimi mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata sejak menerajui kerajaan PN, beliau amat menitikberatkan aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat kerana bagi dirinya, kerajaan yang tidak memikirkan nasib rakyat adalah kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak mahu melihat rakyat susah, menangis minta sedekah mahu makan…itu bukan kehendak saya sebagai perdana menteri.

“Sebab itu saya akan terus usahakan wang (negara) yang saya kumpul banyak-banyak bukan untuk saya. Saya tidak rasuah, segala apa yang ada yang boleh saya gunakan untuk bantu rakyat, saya akan bantu rakyat, apa yang termampu,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama penduduk di Tapak Pasar Tamu Beluran, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Beluran yang juga Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk, Samad Jambri bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Muhyiddin berkata, pandemik Covid-19 antara lain membuktikan bagaimana kerajaan, yang diiktiraf sebagai antara negara terbaik dalam menguruskan wabak itu, begitu peka terhadap keluh kesah rakyat yang menghadapi kesukaran ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya ia menerusi pelbagai inisiatif diumum dan dilaksana kerajaan seperti Pakej Rangsangan Ekonomi, Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA), Bantuan Prihatin Nasional dan pakej Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion yang baru diumumkan semalam.

“Apa kerajaan Warisan buat, apa mereka buat. Saya pergi banyak tempat saya tanya ada ketua menteri kata mahu bantu tapi sampai sekarang tidak terima lagi duit. Saya tidak biasa membanggakan diri kerana saya buat bukan untuk diri saya, satu sen pun saya tidak guna kerana ia untuk rakyat.

“Kita prihatin rakyat, kita nak menolong rakyat, yang paling bawah terkesan dapat wang lebih besar, yang sudah kaya raya tak perlu di bagi apa pun dia masih boleh hidup, jadi apa yang kita lakukan adalah untuk menjaga rakyat kita,” katanya.

Justeru, Muhyiddin, yang juga Pengerusi PN, berkata nasib rakyat Negeri di Bawah Bayu itu akan lebih terbela sekiranya kerajaan negeri yang akan dibentuk nanti selari dengan kerajaan Persekutuan sekarang.

“Kalaulah negeri ini bersama-sama sehaluan dan sekapal sehati dan sejiwa dengan saya, pastinya rakyat Sabah akan lebih terbela, itu mantik dan logiknya,” katanya.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *