Madius Yakin Gelombang Putih Makin Meluas Di Sabah

PITAS: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yakin gelombang putih (Warisan) semakin diterima secara meluas dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di Sabah.

Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, sokongan masyarakat KDM terhadap Warisan Plus semakin bertambah baik berbanding pada asalnya.

Setelah penjelasan demi penjelasan diberikan bahawa Parti Warisan Sabah (Warisan) bukan penternak pendatang asing tanpa izin (PTI), rakyat semakin faham tentang keadaan itu.

“Dalam 10 hari berkempen, kita menggunakan pelbagai sesi dan cara untuk menyampaikan maklumat sebenar kepada orang ramai.

“Memang pada mulanya banyak kekeliruan berkaitan isu PTI ini dan selepas 10 hari mereka nampak bahawa semua itu hanya propaganda politik,” katanya ketika mengulas mengenai sokongan masyarakat KDM terhadap Warisan Plus.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pemimpin Bersama Rakyat Bengkoka,  di Kampung Mangkapon, di sini hari ini.

Berdasarkan laporan jawatankuasa khas, sebanyak 400, 000 kad pengenalan biru dikeluarkan semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Sabah dan 82,000 telah didaftarkan sebagai pengundi.

Timbalan Ketua Menteri ini berkata, penjelasan yang datang daripada golongan profesional seperti Tan Sri Richard Malanjum dan Dr Chong Eng Leng juga membantu rakyat memahami isu tersebut dengan lebih baik.

“Untuk itu, kita minta orang Sabah bersatu hati kerana saya nampak kali ini tidak kira keturunan bangsa dan agama, orang tua mahupun muda, kita akan bersama-sama membantu kepada kemenangan Warisan Plus dalam pilihan raya kali ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat Sabah semakin bijak menilai keadaan yang berlaku. Maka, berilah mandat kepada Warisan Plus untuk kekal memerintah negeri Sabah.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1106