60 Kes Positif Covid-19 Di Sabah Hari Ini

PETALING JAYA: Covid-19 mencatatkan 82 kes baharu hari ini dengan 60 daripadanya di Sabah, menjadikan negeri itu kekal merekodkan kes harian paling tinggi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 72 adalah penularan tempatan dan 10 kes import.

Tiada kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal 130 orang.

“Kes membabitkan 41 kluster Benteng, masing-masing 6 kluster Pulau dan Selamat. Kluster baharu di Semporna, kluster Bangau-Bangau dan Kedah pula 10 kes,” katanya hari ini.

Noor Hisham berkata, sehingga hari ini terdapat 168 kes Covid-19 yang sudah pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 9,563 kes.

“Bagaimanapun, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 665 kes. Mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Katanya, daripada 10 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, ia membabitkan 9 warganegara dan 1 bukan warganegara, yang mendapat jangkitan dari India dan Indonesia.

Menurutnya, sehingga hari ini terdapat 9 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 2 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kluster Bangau-Bangau

Mengulas mengenai kluster baharu di Sabah, iaitu kluster Bangau-Bangau, Noor Hisham berkata ia dilaporkan di Semporna, Sabah dan dikenalpasti hasil saringan kemasukan pesakit ke Hospital Semporna.

“Sebanyak 5 kes iaitu kes ke-10,340 hingga 10,344 dikesan positif pada 21 September. Daripada jumlah itu, 4 kes merupakan warganegara dan 1 kes bukan warganegara.

“Semua mereka tidak bergejala dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Sehingga 22 September, sejumlah 97 individu sudah disaring. Keputusannya, 5 kes dikesan positif dan 92 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Katanya, langkah pencegahan dan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan sudah dijalankan di Hospital Semporna.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan dan perkhidmatan di Hospital Semporna masih berjalan seperti biasa,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2098