Limbahau Mula Rasa Aura Gelombang Putih, Calon WARISAN

PAPAR: Memasuki minggu kedua berkempen, calon Warisan Limbahau, Datuk Juil Nuantim melihat aura gelombang putih di Limbahau semakin terserlah.

Bagaimanapun, calon bagi kerusi baharu di Papar ini tidak mahu terlalu merasa selesa sebaliknya akan terus berkerja sehingga hari terakhir demi mendekati seramai mungkin pengundi di kawasan Limbahau.

Katanya, beliau percaya sokongan yang ditunjukkan rakyat terhadap Parti Warisan Sabah (Warisan) di kawasan Limbahau memberi petanda Warisan mampu menawan kerusi DUN baharu itu.

Mengenai isu yang dibangkitkan di Papar, Juil berkata, kebanyakan isu yang dimainkan pihak lawan berupakan isu yang berulang.

Katanya, rakyat pasti sudah muak dengan isu sama yang kerap diulang-ulang demi meraih undi.

Berkenaan isu Empangan Papar, beliau berkata, pembinaan ini perlu bagi menampung bekalan air rakyat terutama di kawasan Pantai Barat untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Bagaimanapun, proses pembinaannya perlu melalui proses yang betul termasuk dalam mengambil alih tanah milik orang kampung.

“Kerajaan sudah tentu akan memberi pampasan dan menjaga kebajikan mereka yang perlu dipindahkan.

“Air merupakan keperluan yang penting. Jadi,  jangan eksploitasi isu empangan ini demi meraih sokongan politik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bersama Rakyat Pantai Manis dan Limbahau, hari ini.

Tambahnya, pembinaan empangan ini akan membolehkan bekalan elektrik dapat dijana di situ dan ini akan membantu mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Pantai Barat Sabah.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *