Covid-19: Satu Lagi Kluster Baharu Dikesan Di Semporna

Sabah mencatatkan 1 lagi kluster baharu Covid-19 kali ini juga di Semporna.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Bakau membabitkan kes indeks wanita warga Filipina yang meninggal dunia pada 18 September.

“Saringan Covid-19 kes indeks didapati positif pada 16 September 2020.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 2 lagi kes positif bagi kluster Bakau dikenal pasti. Dua kes positif ini melibatkan seorang warganegara Malaysia dan 1 warganegara Filipina. Mereka dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga 19 September, 109 individu disaring untuk kluster itu.

“Keputusan saringan adalah seperti berikut: 3 dikesan positif dan 106 individu menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan jangkitan, termasuk proses nyah kuman dan pembersihan dijalankan di Hospital Semporna. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Selasa lalu kluster baru Selamat dikesan di Semporna.

Selain kluster Selamat, kluster Benteng dan kluster Bunga masih aktif di Sabah, membabitkan 4 kluster aktif.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1861