Sabah Berupaya Sedia RM670 Juta Bantuan Covid-19

KOTA KINABALU: Tuduhan demi tuduhan dilemparkan untuk memperlihatkan ekonomi Sabah di bawah kerajaan Warisan menjunam jatuh.

Jika ekonomi Sabah merundum, bagaimana kerajaan Sabah mampu menyediakan dana RM 670 juta bagi bantuan Covid-19, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Katanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menuduh kerajaan Sabah tidak buat kerja semasa Covid-19.

“Semua YB kita bagi peruntukan untuk berikan bekalan makanan untuk rakyat. Bantuan kepada pemandu teksi, lori, nelayan, polis dan petugas kesihatan turut diberikan.

“Kerajaan Sabah memperuntukkan RM1 juta kepada polis dan petugas kesihatan. Hampir RM10juta dibelanjakan untuk petugas barisan hadapan. Mana ada kerajaan Johor berikan anggota polis RM1 juta?

“Itupun Najib cakap, kita tidak susun ekonomi dengan baik,” katanya semasa berucap dalam Ceramah Umum bersama pemimpin dan calon Warisan Plus, di Lido Square, hari ini.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, berikutan pandemik Covid-19, bukan hanya ekonomi Sabah yang menurun, ekonomi negara Amerika Syarikat, India, Jepun juga merundum disebabkan Covid-19.

Namun, itu bukan bermakna Sabah akan muflis, jadi rakyat jangan bimbang kerana pengurusan kewangan negeri ini masih baik.

Disamping itu, Mohd Shafie turut mengingatkan pengundi Sabah agar berpadu dan undilah untuk generasi akan datang.

Ingatlah duit yang diberikan untuk memancing undi tidak akan mampu bertahan lama. Jika kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi duit yang nilainya tidak seberapa. Tapi, dibawah Warisan, kerajaan berikan tanah yang nilainya jauh lebih besar daripada BRIM.

Menerusi Bantuan Covid-19, secara keseluruhan kerajaan Warisan menyediakan RM910 juta bagi bantuan Covid-19.

Untuk fasa satu sebanyak RM670juta diperuntukkan manakala, dibawah pakej Sabah New Deal, sejumlah RM240juta lagi diperuntukkan untuk pembangunan sektor ekonomi di negeri ini.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5398