Covid-19: Kluster Benteng Jangkiti 6 Pelajar & 7 Guru Tiga Sekolah Di Lahad Datu

KOTA KINABALU: Kluster Benteng LD (Lahad Datu) mula menjangkiti kontak yang berada di luar pusat tahanan membabitkan enam pelajar dan tujuh guru dari tiga buah sekolah di Lahad Datu.

Pengarah Kesihatan Datuk Dr Christina Rundi berkata, kesemua 13 kes ini dikesan melalui saringan kontak Kluster Benteng LD yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Lahad Datu.

Selain itu, empat petugas kesihatan serta dua rakan serumah mereka turut dikesan positif Covid-19.

Saringan kontak yang dilakukan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pula mendapati, 35 tahanan didapati positif Covid-19 yang mana, 20 daripadanya merupakan lelaki bukan warganegara.

Kesemua 54 kes dari kluster Benteng LD ini telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

Dengan tambahan 54 kes baharu itu, Kluster Benteng LD mempunyai 459 kes dimana, dua adalah kes indeks, 101 kes generasi pertama, 331 kes generasi kedua dan 25 kes generasi ketiga

Sementara di Tawau, seorang petugas kesihatan yang mempunyai sejarah perjalanan balik bercuti di kampung halaman di Semenanjung Malaysia turut dikesan positif sebelum kembali bertugas di hospital.

Untuk tiga kes di Sandakan, seorang kakitangan Jabatan Penjara dikesan positif sebelum semasa saringan sebelum bertugas semula selepas kembali daripada bertugas di luar daerah.

Dua kes lagi membabitkan lelaki warganegara yang dikesan positif semasa saringan di Pintu Masuk Antarabangsa. Kedua-dua kes Import B ini mempunyai sejarah perjalanan ke Semenanjung Malaysia sebelum tiba di Sandakan.

Kesemua kontak pesakit yang perlu menjalani saringan Covid-19 sedang dikesan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan.

Sementara di Kunak, satu kes positif yang dikesan semasa saringan kontak bagi Kluster Pulau. Kes ini merupakan generasi pertama untuk kluster ini.

Kes ini telah dimasukkan ke Hospital Tawau dan pengesanan kontak pesakit sedang dilakukan olej Pejabat Kesihatan Daerah Kunak.

Untuk Kluster Pulau di Kunak, setakat ini 10 kes positif telah dikesan.

Dr Christina berkata, satu kes lagi dikesan di Kota Kinabalu yang merupakan lelaki warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan dari luar negara. Kes Import A ini dikesan positif semasa ujian kedua saringan Covid-19.

Individu ini telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin sebaik tiba di Sabah dan kes ini sudah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

Secara keseluruhan kes yang masih aktif di Sabah adalah sebanyak 508 kes daripada 937 kes yang dikesan setakat semalam. Sebanyak 421 kes yang sudah pulih dan lapan kes kematian.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2533