Calon USNO Hilang Kelayakan Bertanding Di Petagas

Calon parti yang bertanding mendaftar di Pusat Penamaan Calon bagi Dun Petagas di Dewan Sri Putatan hari ini.Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Calon Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Petagas hilang kelayakan untuk bertanding selepas diisytiharkan muflis.

Jivol @ Edmund Doudilim, 62, menghantar borang pencalonan di Dewan Sri Putatan, di sini, tetapi ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas namanya tersenarai sebagai muflis.

Jivol yang juga seorang peguam lihat berbincang dengan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dun, Ahmad Shah Mohd Sunoh sebelum meninggalkan pusat penamaan calon.

Ahmad Shah ketika dihubungi berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap status setiap individu yang menghantar borang pencalonan.

“Apabila kita merujuk dengan pihak insolvensi, kita dapati beliau muflis. Jadi kita rujuk perkara itu kepada ibu pejabat SPR di Kuala Lumpur dan pejabat Peguam Negara.

“Beliau kemudian dinasihatkan tidak bertanding,” katanya.

Difahamkan pada mulanya Jivol enggan mengakui beliau muflis namun menerimanya selepas ditunjukkan bukti.

Ahmad Shah berkata, Jivol memberi kerjasama dan pihaknya menasihatkan beliau supaya memfailkan petisyen untuk menyelesaikan isu itu supaya dapat bertanding pada pilihan raya akan datang.

Ini bukan percubaan pertama Jivol bertanding kerana pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) beliau bertanding di Parlimen Putatan di bawah tiket Gabungan Sabah-Harapan Rakyat tetapi hilang deposit.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5873