Musa Aman Minta Rakyat Sabah Jaga Diri

Tan Sri Musa Aman selepas sidang media khas di kediamannya di Luyang, Kota Kinabalu pada 30 Julai lalu.

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman meminta rakyat negeri ini supaya terus menjaga diri dalam keadaan selamat selepas hilang dari radar politik Sabah susulan tindakan tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga.

Musa yang menyandang kerusi itu sejak 1994, selaku tokoh politik UMNO negeri itu, tidak mengemukakan borang pencalonan pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hari ini.

Pencetus kepada pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai lalu, Musa tidak kelihatan di mana-mana pusat penamaan calon yang dibuka sejam mulai jam 9 pagi.

“Jaga diri semua, semoga sentiasa dalam keadaan selamat,” kata Musa yang tidak menyerahkan borang pencalonannya sejurus pusat penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila ditutup, menerusi Twitter hari ini.

Untuk rekod, Musa dalam ciapannya pada 9 September telah menulis: “Saya akan kembali ke Sungai Manila” namun tiada kelibatnya pada kerusi baharu dalam Parlimen Libaran itu.

Seorang pegawainya yang tidak mahu dikenali, memaklumkan kepada bahawa bekas ketua menteri berusia 69 tahun itu tidak bercadang untuk membuat sebarang sidang media setakat berita ini ditulis.

PRN ke-16 ini diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, 30 Julai lalu sehari selepas Musa mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *