PRN Sabah: Calon DAP Bertanding Guna Lambang Warisan

PETALING JAYA: Calon DAP akan bertanding pada Pilihan Raya Sabah menggunakan lambang Warisan.

Setiausaha Agung Lim Guan Eng dalam kenyataan mengumumkan perkembangan itu berkata, ia keputusan yang sukar tetapi hanya barisan yang bersatu boleh menang pilihan raya

“Demi memulihkan konsep asas bahawa ‘kuasa rakyat’ lebih besar daripada ‘wang adalah raja’, DAP memutuskan untuk menggunakan logo bersama seperti yang diminta oleh jawatankuasa negeri DAP Sabah.

“Ini adalah keputusan yang sukar bagi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti,” katanya.

Beliau mengakui pertaruhan dalam arena politik terlalu tinggi dan parti itu tidak boleh kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Warisan Plus ingin memberi mesej jelas bahawa Sabah tidak menerima pengkhianatan politik dan kita menolak wakil rakyat yang boleh dibeli dengan wang,” katanya.

Warisan Plus yang diketuai ketua menteri Shafie Apdal dianggotai DAP, Upko dan PKR.

Pakatan itu dijangka mengumumkan calon bagi PRN jam 9.30 pagi esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Dewan Undangan Negeri Sabah mempunyai 73 kerusi, pertambahan sebanyak 13 lagi kerusi berbanding 60 ketika Pilihan Raya Umum Ke-14.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1300