Pilihan Raya Sabah Tidak Perlu Diadakan Semasa Wabak, Mahkamah Diberitahu

Musa Aman tiba di Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Pilihan raya negeri (PRN) Sabah tidak perlu diadakan semasa menularnya wabak Covid-19, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, tempoh 5 tahun penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berakhir pada 2023.

“Pilihan raya negeri sebelum ini diadakan hanya 2 tahun lepas. Kenapa adakan pilihan raya baru semasa penularan wabak Covid-19 sekarang?”, soal peguam yang mewakili bekas ketua menteri Sabah dan juga Adun Sungai Sibuga Musa Aman serta 32 wakil rakyat negeri itu.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, Abu Bakar Jais dan Supang Lian mendengar kes tersebut.

33 individu terbabit merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka pada 21 Ogos lepas berikutan persetujuan gabenor negeri itu Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN Sabah.

Firoz berkata, ketua menteri sementara Shafie Apdal tidak mempunyai hak untuk menasihati gabenor supaya membubarkan DUN pada 29 Julai lepas kerana beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti 65 wakil rakyat (yang dipilih dan dilantik).

“Musa mengemukakan akuan berkanun 33 Adun kepada Istana dan berkumpul untuk menemui gabenor (pada 29 Julai),” katanya dengan menambah bahawa mereka diberitahu supaya datang pada hari berikutnya.

Bagaimanapun kata Firoz, kira-kira pukul 11 malam pada 29 Julai, Shafie menemui gabenor dan pada keesokan harinya ketua negeri itu menandatangani perisytiharan pembubaran DUN.

“Gabenor sepatutnya menggunakan kuasa budi bicara beliau apabila Shafie tidak lagi mendapat sokongan majoriti Adun,” katanya, selain menambah bahawa Musa mempunyai cukup sokongan untuk menggantikan Shafie.

Beliau berkata, kebenaran itu harus diberikan kerana mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan membuat keputusan berhubung perkara itu selepas mendengar merit kes.

“Perkara ini melibatklan isu perlembagaan. Gabneor mesti menggunakan kuasa budi bicara yang diperuntukkan dalam perlembagaan bagi menangani isu, bukan hanya berperanan sebagai cop getah,” katanya.

Pada 21 Ogos lepas, pesuruhjaya kehakiman Leonard David Shim di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan semakan kehakiman atas sebab tindakan gabenor tidak boleh diadili di mahkamah.

Beliau berkata, terdapat duluan pada 1986 yang menyaksikan gabenor pada ketika itu Adnan Robert membenarkan pembubaran DUN dalam tempoh setahun selepas pilihan raya negeri sebelum itu berikutan permohonan daripada ketua menteri pada masa itu Joseph Pairin Kitingan.

“Mahkamah harus mengambil notis perundangan berkait fakta yang tidak boleh disangkal ini,” katanya dalam penghakiman beliau.

Shim berkata, mahkamah mendapati Shafie bertindak mengikut hak perlembagaannya dengan meminta Juhar membubarkan DUN.

Beliau juga berkata, Juhar bertindak dalam bidang kuasanya dengan membubarkan DUN.

FMT mendapati kesemua 33 individu, termasuk Musa berada di dalam dan di luar mahkamah hari ini.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *